ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ialah pelbagai jenis peralatan teknologi dan sumber yang digunakan untuk mewujud, menyebar, menyimpan, mengumpul, dan mengurus maklumat dan berkomunikasi. Teknologi yang dimaksudkan merangkumi komputer, Internet, teknologi penyiaran dan transmisi.

ICT Dalam Pendidikan ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pembelajaran sepanjang hayat. Penggunaan ICT dalam PdP membolehkan aktiviti PdP dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan murid.

Definisi ICT dalam Pendidikan

Dalam konteks pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk menyelesaikan masalah PdP dan pengurusan dan pentadbiran (PdT) sekolah dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan peralatan dan bahan teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet (e-mel, forum, portal, laman wab), video telesidang atau instruksi berasaskan komputer. Literasi ICT seperti kebolehan mengakses, mencari, memilih, menilai, menstruktur, membina dan menyusun maklumat untuk tujuan PdP merupakan kemahiran yang perlu ada pada semua guru dalam Zaman Maklumat ini. (Yusup Hashim & Razmah Man, 2006).

Perkembangan ICT Dalam Pendidikan

Penggunaan komputer dalam pendidikan bermula pada tahun 1987 apabila Lembaga Peperiksaan (LP) menggunakan teknologi komputer dalam urusan pemprosesan data peperiksaan. Menyedari bahawa pendedahan awal kepada ICT akan menyediakan generasi muda dengan nilai tambah kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi ledakan maklumat serta mengharungi arus globalisasi, ICT dijadikan mata pelajaran di sekolah pada tahun 1990-an.

Dasar Wawasan 2020 telah memacu penggunaan ICT dengan meluas dalam pendidikan negara melalui pelancaran projek Koridor Raya Multimedia pada tahun 1997 melalui Projek Sekolah Bestari. Pelbagai usaha membudayakan ICT juga telah diperkenalkan di sekolah bagi merapatkan jurang digital yang dihadapi oleh negara berbanding negara maju. Projek Makmal Komputer yang dilengkapi dengan komputer terkini beserta kemudahan LAN dan Internet mula dilaksanakan pada tahun 1999.

KPM telah melancarkan program pembestarian sekolah bagi tujuan melengkapkan murid dengan Kemahiran Abad Ke-21 yang menekankan penggunaan ICT sebagai pemangkin. Sejajar dengan program pembestarian ini, penyediaan capaian Internet jalur lebar melalui Projek SchoolNet dilaksanakan untuk semua sekolah di seluruh negara. Bagi membudayakan ICT di sekolah dan meningkatkan penggunaan komputer oleh murid, Projek Pusat Akses Sekolah (PuAS) diperkenalkan pada tahun 2006. KPM juga telah menambahbaik kaedah penyampaian program TV Pendidikan dengan pelaksanaan WebTV KPM atau lebih dikenali sebagai eduWebTV pada tahun 2008. Ia merupakan sumber pendidikan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan bahan-bahan PdP dalam bentuk audio-visual kepada murid dan guru terutamanya di kawasan pedalaman.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) digubal untuk memastikan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu yang berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang terkandung dalam DPK  menyatakan ICT sebagai faktor penting untuk membantu pencapaian pembangunan pendidikan dan seharusnya diintegrasikan dalam P&P serta pengurusan pendidikan. Pernyataan dasar ini meliputi perkara berikut:

  • ICT untuk semua murid
  • ICT sebagai alat P&P, sebagai komponen mata pelajaran dan sebagai mata pelajaran
  • ICT digunakan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan

Pembangunan ICT Dalam Pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk:

  • meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT
  • memperluas akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT
  • memperluas kurikulum berasaskan ICT
  • meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT
  • menekankan pengintegrasian ICT dalalm PdP
  • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan murid, tenaga pengajar, dan personel KPM
  • meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan
  • meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT
  • meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT
  • meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam membantu memperkembangkan ICT Dalam Pendidikan

Kemahiran ICT

Kemahiran ICT yang diperlukan oleh guru / setiap individu adalah berbeza. Ini bergantung kepada keperluan tugas, organisasi, minat dan kecenderungan individu.

Dalam alam pendidikan, kemahiran mengguna aplikasi pemprosesan perkataan seperti Words, aplikasi paparan seperti Excel, aplikasi penyampaian seperti Powerpoint, kemahiran mencari maklumat, dan kemahiran mengolah data yang diperoleh menjadi satu kemahiran asas untuk semua. Pengkhususan selanjutnya bergantung kepada keperluan tugas individu. Contohnya:

  • Guru perlu tahu bagaimana berkomunikasi melalui e-mel, serta mengintegrasikan ICT sebagai satu bentuk sumber pendidikan dalam PdP.
  • Guru Pendidikan Seni boleh mencuba perisian melukis dan diikuti dengan perisian untuk animasi.
  • Pentadbir sekolah perlu tahu bagaimana menggunakan ICT untuk memudahkan kerja pentadbiran, meiningkatkan keberkesanan kerja dan mewujudkan saluran komunikasi dengan guru dan agensi luar dengan menggunakan e-mel.
  • Guru Penyelaras Bestari / ICT perlu tahu menyenggara komputer, memasang dan mengurus rangkaian setempat dan lain-lain.
  • Guru Perpustakaan dan Media perlu meneroka aplikasi atau perisian terkini yang boleh dicadangkan kepada guru untuk disesuai dan diintegrasikan dalam PdP.

Kaedah Meningkatkan Kemahiran ICT

Terdapat pelbagai kaedah dan saluran untuk meningkatkan kemahiran ICT, antaranya:

  • Menghadiri kursus atau latihan yang dianjurkan oleh KPM atau pihak luar
  • Menghadiri latihan dalaman sekolah
  • Meneroka sendiri melalui web atau e-pembelajaran
  • Belajar sambil bekerja (On-the-job training)
  • Melalui rakan sejawat
  • Mengajar

Peningkatan kemahiran bermula dengan minat, kesedaran, keperluan dan motivasi untuk belajar yang akan menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran individu. Selepas mengikuti latihan kemahiran, individu mesti menggunakan kemahiran yang diperoleh dalam menjalankan tugas harian. Secara tidak langsung, seseorang itu akan memperoleh lebih banyak kemahiran. Kemahiran ini juga boleh dipindah ke penggunaan program yang baharu.

Latihan secara tidak formal seperti on-the-job training dan aplikasi perisian dalam kerja memainkan peranan yang penting dalam peningkatan kemahiran ICT individu. Perkongsian pengalaman dan mengajar orang lain pula merupakan cara terbaik untuk mendalami kefahaman berkaitan kemahiran yang diperoleh.