Bilik Darjah Abad ke-21?

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Perkembangan teknologi dunia yang pesat, yang dibawa oleh Revolusi Industri ke-4 mengubah aspek kehidupan dalam semua bidang, ekonomi dan industri.

bilik-darjah-2Justeru, kaedah dan reka bentuk PdP perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan persekitaran murid agar seiring dengan peredaran zaman. Ini merangkumi pengintegrasian kemahiran Abad ke-21 dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pelaksanaan kurikulum. Kemahiran ini merangkumi kreativiti, inovasi, komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, keupayaan membuat keputusan, keupayaan membuat kajian dan penyelidikan, dan penyelesaian masalah.

Kemahiran Abad Ke-21 memberi peluang pembelajaran yang lebih meluas kepada murid.  Mereka bukan sahaja belajar tentang isi kandungan malah fokus kepada penjanaan ilmu dan penyelesaian masalah dalam dunia sebenar.  Kemahiran Abad Ke-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid dapat diterapkan oleh guru melalui strategi pembelajaran yang berfoluskan kepada:

  1. Pembelajaran Kendiribilik-darjah-3
  2. Pembelajaran Kolaboratif
  3. Pembelajaran Berasaskan Projek
  4. Pembelajaran secara Inkuiri-Penemuan
  5. Penyelesaian Masalah
  6. Pembelajaran Masteri
  7. Konstruktivisme
  8. Pembelajaran Penerokaan

Strategi pembelajaran seperti di atas digariskan dalam Dokumen Standard dan Kurikulum Pentaksiran (DSKP) KSSR dan KSSM.

Berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan dan berkualiti dapat memperkembangkan potensi dan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan. Bagi mencapai hasrat tersebut, guru haruslah memastikan:

1) penglibatan murid dalam aktiviti PdP bagi membolehkan pengajaran berkesan

2)  penguasaan pembelajaran murid dari segi kognitif, afektif dan psikomotor meningkat

3) hasil kerja murid yang berkualiti dapat mengukuhkan pembelajaran

4) perancangan dan persediaan yang rapi bagi bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran

5) kaedah penyampaian yang berkesan bagi meningkatkan pencapaian objektif pelajaran

6) komunikasi yang mudah dan berkesan bagi mempercepatkan pemahaman murid dan menggalakkan pembelajaran murid

7) penggunaan sumber pendidikan yang berkesan bagi mengukuhkan pembelajaran murid

8) penilaian yang berterusan bagi meningkatkan keberkesanan PdP

9) kepelbagaian teknik menyoal bagi meningkatkan pemahaman dan kejelasan pelajaran serta memperkembangkan pemikiran kreatif dan kritis murid

10) penguasaan fakta dan konsep bagi membolehkan pelajaran disampaikan dengan yakin, jelas dan tepat

11) pengurusan kelas yang cekap bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk keberkesanan p&p

12) pematuhan etika kerja dan amalan nilai positif bagi mewujudkan keyakinan dan kepercayaan murid terhadap guru

Penggunaan sumber pendidikan yang berkesan, antaranya penggunaan ICT, berpotensi besar untuk memacu dan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk mengoptimumkan potensi murid dalam penguasaan Kemahiran Abad Ke-21.

bilik-darjah1Kesimpulannya, keberhasilan kompetensi dan Kemahiran Abad Ke-21 murid tidak tertakluk dan tidak terhad dalam bilik darjah sahaja, samada bilik darjah mempunyai kemudahan ICT yang baik mahupun tidak.

Walau bagaimanapun, komponen berikut termasuk kemudahan ICT dalam bilik darjah membantu meningkatkan kecekapan dan efisiensi pelaksanaan proses PdP Abad Ke-21.

Bil. Komponen Peranan
1. Murid Penguasaan:

·         Kemahiran Abad Ke-21

·         Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

2. Guru Pelaksanaan:

·         Strategi Pembelajaran Berpusatkan Murid

·         Elemen Merentas Kurikulum

3. Bilik Darjah Zon pembelajaran pelbagai guna (Multi-use learning zones):

·         Perabot mudah-alih

·         Akses Internet

·         Komputer / tablet

·         Projektor

·         Pencetak

·         Stesen untuk mengecas peranti (power plug / USB)

4. Kurikulum Berasaskan:

·         projek

·         teknologi

·         kolaboratif

·         jaringan hubungan (globally connected)

Teknologi sebagai Pengupaya dalam Bilik Darjah di Malaysia

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta perubahan dalam pengurusan dan pentadbiran (PdT) sekolah bukanlah satu fenomena yang baharu. Proses mentransformasi sekolah sebagai institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan dan pentadbiran sekolah (PdT) bagi menyediakan murid untuk menghadapi cabaran era teknologi maklumat telah bermula sejak Koridor Raya Multimedia (Multimedia Super Corridor – MSC) ditubuhkan pada tahun 1996.  Dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan telah mengenal pasti keperluan untuk merekayasa sistem pendidikan negara. Transisi negara daripada sebuah ekonomi berasaskan produk kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, memerlukan tenaga kerja yang berupaya mengeksploitasi ICT untuk mewujudkan peluang-peluang baharu ekonomi.  Justeru, konsep Sekolah Bestari dan Pembestarian Sekolah diperkenalkan sebagai  salah satu aplikasi perdana pada tahun 1997.

mydigitalmaker1Kini, Pembestarian Sekolah berada pada Gelombang 4: Konsolidasi dan Kelestarian (2011 – 2020) seharusnya telah mencapai tempoh kematangan setelah 17 tahun dilancarkan. Pada peringkat ini, sekolah-sekolah di Malaysia telah mempunyai budaya mengintegrasikan teknologi sebagai pengupaya dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan dan pentadbiran (PdT) sekolah.  Aktiviti Pembestarian Sekolah memainkan peranan penting dalam usaha menjayakan Anjakan 7: Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025.

Pencapaian Pembestarian Sekolah di semua sekolah-sekolah di Malaysia diukur melalui instrumen Smart School Qualification Standards (SSQS). Penilaian kendiri yang melibatkan lebih setengah juta respoden ini bertujuan untuk mengukur dan memastikan ekosistem sesebuah sekolah menerap dan mengintegrasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam PdP dan PdT mencapai piawaian yang ditetapkan. Laporan Pembestarian Sekolah tahun 2016 mendapati bahawa 96.1% sekolah mencapai tahap bestari yang baik dengan mengamalkan pembudayaan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan kualiti PdP dan PdT serta mengayakan hasil pembelajaran murid melalui penggunaan ICT, menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, kompeten, kreatif dan inovatif serta berjaya membentuk jati diri insan yang dinamik dan berdaya saing dalam kehidupan abad ke-21.

Perkembangan teknologi dunia yang pesat, yang dibawa oleh Revolusi Industri Ke-4 mengubah aspek kehidupan dalam semua bidang, ekonomi dan industri.  Justeru, kaedah dan reka bentuk PdP perlu disesuaikan dengan perkembangan teknologi dan persekitaran murid agar seiring dengan peredaran zaman. Ini merangkumi pengintegrasian kemahiran Abad ke-21 dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam pelaksanaan kurikulum. Kemahiran ini merangkumi kreativiti, inovasi, komunikasi, kolaborasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, keupayaan membuat keputusan, keupayaan membuat kajian dan penyelidikan, dan penyelesaian masalah.

Kemahiran Abad Ke-21 memberi peluang pembelajaran yang lebih meluas kepada murid.  Mereka bukan sahaja belajar tentang isi kandungan malah fokus kepada penjanaan ilmu dan penyelesaian masalah dalam dunia sebenar. Kemahiran Abad Ke-21 yang menekankan pembelajaran berpusatkan murid dapat diterapkan oleh guru melalui strategi pembelajaran yang berfokuskan kepada pembelajaran kendiri, kolaboratif, berasaskan projek, inkuiri-penemuan, penerokaan, masteri, penyelesaian masalah dan konstruktivisme.

Berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM), pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan dan berkualiti dapat memperkembangkan lagi potensi dan pencapaian murid pada tahap optimum secara berterusan, antaranya melalui penggunaan sumber pendidikan yang berkesan bagi mengukuhkan pembelajaran murid. Penggunaan sumber pendidikan yang berkesan, antaranya penggunaan ICT dan sumber pembelajaran berteraskan teknologi digital, memacu dan memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) untuk mengoptimumkan potensi murid menguasai Kemahiran Abad Ke-21.

Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa berusaha memastikan penyampaian perkhidmatan pendidikan berada pada tahap terbaik walaupun menghadapi kekangan-kekangan tertentu dari semasa ke semasa, antaranya dari segi kewangan, kemudahan infrastuktur, modal insan dan sumber pendidikan digital yang mencukupi. Bagi menangani cabaran ini, pelbagai inisiatif dirancang dan dilaksanakan dalam PPPM 2013 – 2025 untuk memastikan pembangunan keperluan infrasruktur sekolah dipenuhi bagi meningkatkan pelaksanaan pembelajaran kendiri dan pembelajaran jarak jauh. Selain itu, bagi mempercepatkan transformasi sistem pendidikan, KPM juga bekerjasama dengan rakan perkongsian pintar, antaranya melalui inisiatif #mydigitalmaker yang dilancarkan oleh YAB Pmydigital-maker1erdana Menteri pada bulan Ogos lalu. Melalui inisiatif ini, pelbagai agensi,  industri, mahupun akademik bersatu dalam mengasah bakat murid sebagai pereka, penghasil atau pencipta digital yang dapat memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan negara menerusi pengintegrasian kemahiran abad ke-21 dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) seperti penerapan pemikiran komputasional dalam subjek sains komputer dalam kurikulum kebangsaan.

Pembestarian Sekolah

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Globalisasi dan perubahan teknologi yang pesat telah mewujudkan ekonomi baharu yang dipacu oleh pengetahuan. Sehubungan itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communications Technology – ICT) telah menjadi pengupaya penting ekonomi berasaskan pengetahuan bagi kebanyakan negara. Kerajaan di seluruh dunia sememangnya mengakui kesan positif ICT terhadap pembangunan sosial dan ekonomi masyarakatnya. Justeru, semakin banyak kerajaan telah mula membuat pelaburan yang ketara dalam ICT untuk membangunkan modal insan agar mereka mampu menangani cabaran dalam era digital dan maklumat.

Pelaksanaan ICT dalam Pendidikan Melalui Penubuhan Sekolah Bestari dan Konsep Pembestarian Sekolah

ICT dalam Pendidikan bermula dengan pelancaran Aplikasi Perdana Sekolah Bestari, iaitu salah satu daripada tujuh aplikasi utama dalam Koridor Raya Multimedia (MSC), pada tahun 1997, oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Sekolah Bestari merupakan institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PDP) serta pengurusan sekolah melalui penggunaan teknologi pendidikan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sesuai dengan perkembangan semasa yang bertujuan meningkatkan minat, kreativiti, pengetahuan dan kemahiran murid.

 komponen sekolah bestari

Komponen Sekolah Bestari

  • Pengajaran dan Pembelajaran

P&P Sekolah Bestari, “jantung” atau “nadi” sekolah adalah berkaitan dengan kurikulum, pedagogi, bahan P&P dan pentaksiran untuk membantu murid belajar dengan cekap dan berkesan.

  • Pengurusan dan Pentadbiran

Pengurusan dan pentadbiran sekolah berbantukan teknologi sebagai “pemandu” atau “pemacu pengoperasian” Sekolah Bestari memastikan pengurusan yang cekap dan berkesan di sekolah.

  • Modal Insan, Kemahiran dan Tanggungjawab

Modal insan yakni guru, pentadbir dan staf sokongan, ibu bapa, komuniti serta agensi swasta memainkan peranan secara aktif untuk membangun profesionalisme dan pengetahuan warga sekolah demi peningkatan prestasi sekolah.

  • Proses

Sekolah Bestari dibekalkan dengan pelbagai sumber (input) untuk menjana keberhasilan (outcomes) yang dikehendakki.

  • Teknologi

Teknologi digunakan sebagai pengupaya dalam P&P, pengurusan dan pentadbiran serta komunikasi dengan pihak luar.

  • Dasar

Dasar diwujudkan untuk keperluan Sekolah Bestari dan Pembestarian Sekolah.

Ciri-Ciri Sekolah Bestari

Ciri-ciri Sekolah Bestari adalah seperti berikut:

  • Guru berperanan sebagai pemudah cara atau fasilitator
  • Murid belajar secara akses kendiri, terarah kendiri, dan kadar kendiri menjurus kepada pembelajaran sepanjang hayat
  • Pengajaran dan pembelajaran (PdP) menarik, berkesan dan berpusatkan murid
  • Sekolah membudayakan penggunaan ICT dalam pengurusan dan PdP
  • Sekolah mewujudkan rangkaian dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak

Pembestarian Sekolah

Pembestarian Sekolah ialah proses memperluaskan konsep Sekolah Bestari ke semua sekolah dengan mengambil kira manfaat (leveraging) semua inisiatif ICT yang sedang dilaksanakan oleh KPM. Proses ini dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sekolah serta PDP secara interaktif berasaskan ICT.

Pembestarian Sekolah telah memanfaatkan (leveraging) semua inisiatif ICT yang telah dan sedang dijalankan oleh KPM seperti Projek SchoolNet, Projek Makmal Pengkomputeran, Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), TV Pendidikan melalui web (EduWebTV), Pusat Akses Sekolah, Pusat Sumber Sekolah dan lain-lain inisiatif.

Matlamat

Matlamat  Pembestarian Sekolah adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan kadar pembelajaran berpusatkan murid
  • Membangunkan modal insan yang berkemahiran ICT untuk memenuhi keperluan masa hadapan;
  • Menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan

Tahap Bestari Sekolah diukur berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) melalui aplikasi Smart School Qualification Standards (SSQS). Lima(5) domain utama SSQS ialah modal insan (pembangunan kompetensi ICT pentadbir, guru dan murid), penggunaan ICT (integrasi ICT dalam pengurusan serta PDP), aplikasi (sistem yang digunakan di sekolah), infrastruktur (teknologi sedia ada di sekolah) dan Pusat Sumber Sekolah (pengurusan sumber pendidikan).

Fokus Dan Hala Tuju Pembestarian Sekolah

Fokus dan hala tuju Pembestarian Sekolah dilaksanakan berpandukan kepada beberapa dasar pendidikan seperti berikut:

  1. Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) digubal untuk memastikan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu yang berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang terkandung dalam DPK menyatakan bahawa ICT sebagai faktor penting untuk membantu pencapaian pembangunan pendidikan dan seharusnya diintegrasikan dalam P&P serta pengurusan pendidikan. Pernyataan dasar ini meliputi perkara berikut:

  • ICT untuk semua murid
  • ICT sebagai alat P&P, sebagai komponen mata pelajaran dan sebagai mata pelajaran
  • ICT digunakan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan
  1. Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pendidikan

Dasar ICT dalam Pendidikan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada 12 Oktober 2010 menyarankan kerangka untuk menyusun transformasi sistem pendidikan negara melalui penggunaan ICT di sekolah,  penglibatan dan kerjasama kelompok pakar, perkongsian dengan sektor awam dan swasta serta penglibatan komuniti.

Matlamat Dasar ICT dalam Pendidikan adalah untuk  melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru  bagi menjana kekayaan negara.

Asas-asas Dasar ICT dalam Pendidikan melibatlkan perkara berikut:

  • Pembangunan modal insan secara berterusan selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21,
  • Penggunaan teknologi yang bersesuaian untuk mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, dan
  • Transformasi proses P&P dan pengurusan pendidikan di sekolah melalui penggunaan teknologi sebagai pengupaya.
  1. Pelan Strategik Interim KPM 2011-2020

Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011- 2020 digunapakai sementara menantikan blueprint Hala Tuju dan Transformasi Pendidikan Negara yang sedang dibangunkan siap sepenuhnya. Pelan Strategik ini merangkumi 14 inisiatif strategik atau teras strategik untuk mencapai visi dan misi KPM.

Bagi memastikan matlamat ini dicapai, dua (2) pendekatan utama dalam Pelan Strategik telah dikenal pasti iaitu:

  • Pemantapan pengupaya inisiatif sedia ada untuk memacu perubahan dalam sistem pendidikan
  • Pembaharuan dan lonjakan dimensi-dimensi baharu bagi mencapai kecemerlangan

KPM berpandangan bahawa penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran serta dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sekolah dan institusi pendidikan adalah prasyarat bagi Malaysia untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi. Juteru, keperluan mewujudkan ruang belajar baru, iaitu ruang belajar maya perlu ditekankan.

Pembelajaran Maya ialah pembelajaran secara online yang diperoleh pada bila-bila masa di mana juga (ubiquitous learning). Pembelajaran bentuk ini menggalakkan semua guru dan murid menggunakan teknologi berasaskan web untuk mengajar dan belajar. Fokus utama e-pembelajaran ialah murid perlu berdikari dan bertanggungjawab ke atas pembelajarannya. Suasana e-pembelajaran mendorong murid memainkan peranan lebih aktif dalam pembelajarannya.

  1. Pelan Strategik ICT KPM 2011-2015

KPM melihat ICT sebagai wadah yang menyumbang kepada pembangunan modal insan supaya dapat merancakkan lagi kemajuan negara. Selain daripada keperihatinan KPM berkaitan ekuiti dan akses, ICT merupakan wahana kepada penyampaian dan penerimaan maklumat secara pantas dan penyediaan kaedah yang lebih cekap dan berkesan dalam pelaksanaan tugas. ICT juga dapat menyediakan persekitaran P&P yang dinamik, mengurangkan jurang digital dan menyediakan peluang pendidikan untuk semua.

ICT Dalam pendidikan akan mengukuhkan lagi kapasiti sumber manusia, menggalakkan kreativiti dan inovasi, pemikiran kritis san pembuatan keputusan yang secara langsung akan membina keupayaan individu untuk mengenal pasti kemampuan dirinya dalam ekonomi berasaskan teknologi. Penggunaan meluas ICT dalam pendidikan juga akan mengoptimumkan pengurusan dan pengoperasian KPM dalam usaha menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Pelan Strategik ICT KPM dirangka untuk tempoh lima tahun (2011-2015) berteraskan kepada lima inisiatif yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan ke arah melaksanakan perancangan pendidikan yang telah digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama (National Key Result Area – NKRA). Program dan aktiviti ICT akan berdasarkan skop Projek Perkhidmatan 1BestariNet.

5 inisiatif utama

Lima Inisiatif Utama Pelan Strategik KPM 2011-2015

  1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025)

Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberikan impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, seperti akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.

Anjakan khusus untuk ICT dalam Pendidikan termaktub dalam Anjakan ke-7 iaitu Memanfaatkan ICt Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran Di Malaysia. Fokus anjakan ini mencakupi perkara berikut:

  • Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1BestariNet bagi semua 10,000 sekolah menjelang 2013
  • Menambahkan kandungan atas talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran dalam mata pelajaran kritikal pada 2013
  • Memanfaatkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan berasaskan kendiri untuk meningkatkan kapasiti dan pembelajaran lebih khusus

Status Semasa Pelaksanaan Pembestarian Sekolah

Beberapa inisiatif ICT baharu KPM sedang rancak dilaksanakan di seluruh negara. Kesemua inisiatif ini merupakan lonjakan perdana Pembestarian Sekolah dalam Fasa Kestabilan dan Kelestarian menjelang 2020.

  1. Perkhidmatan 1BestariNet

1BestariNet merupakan perkhidmatan rangkaian “End To End”(E2E) bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran  serta pengurusan dan pentadbiran bagi 10,000 sekolah di Malaysia.

Perkhidmatan yang dilaksanakan di bawah projek 1BestariNet KPM adalah seperti berikut:

  • Capaian Lebar Jalur 2 sehingga 4 Mbps setahun
  • Capaian Lebar Jalur 4 sehingga 10 Mbps setahun
  • Capaian Labar Jalur sehingga 50 Mbps setahun (hanya di BTP sahaja – 1 lokasi)
  • Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM)
  • Penyenggaraan Aplikasi PPM
  • Perkhidmatan Keselamatan Terurus
  • Perkhidmatan Hosting Terurus
  • Project Management Office
  1. Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM)

Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM) atau Virtual Learning Environment (VLE) mengupayakan PdP di mana-mana dan pada bila-bila masa.  Pelantar pembelajaran yang mantap ini:

  • Berupaya membantu KPM melaksanakan student profiling bagi tujuan psikometrik
  • Berupaya menjadi pelantar perkongsian dan kolaborasi PdP
  • Mengupayakan guru untuk membangunkan objek pembelajaran yang interaktif
  • Mempunyai keupayaan antaramuka perisian aplikasi atau application programming interface (API) bagi pengintegrasian dengan aplikasi KPM sedia ada
  • Keserasian dengan piawaian teknologi e-pembelajaran
  1. Sistem Pengurusan Sekolah (SPS)

Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) merupakan satu komponen dalam Penyelesaian Bersepadu Projek Rintis Sekolah Bestari. Objektif SPS ialah mewujudkan satu primary data maklumat sekolah. Sistem ini telah dibangunkan pada awal tahun 2009 dengan pembangunan pangkalan data yang mengambil kira fungsi dan keperluan data aplikasi iaitu Sistem Maklumat Murid (SMM), Educational Management Information System (EMIS), Sistem Salahlaku dan Disiplin Murid (SSDM) dan Integrated Student Information System (ISIS). Penyeragaman sistem-sistem berkenaan mengambil kira penyelarasan kod yang terkandung dalam Data Dictionary Sektor Awam (DDSA).

  • Nota: SPS kini di bawah pentadbiran BPPDP
  1. Makmal Bahasa

Dasar MBMMBI ialah satu dasar yang penting dan berhasrat untuk melahirkan warga Malaysia yang petah berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Oleh itu, pelaksanaan dasar dasar ini bertujuan untuk melahirkan warga Malaysia yang fasih dan yakin untuk menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris standard dalam komunikasi, urusan rasmi, penerokaan ilmu, dan alam kerjaya.

Tumpuan juga diberi dalam pembinaan modal insan yang berminda kritis, kreatif dan inovatif serta mampu mengakses pelbagai media seperti teknologi maklumat dan komunikasi.  Individu ini akan mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa ke arah mencapai negara maju.

  1. Penggunaan MBMMBI

Bahan CD digital MBMMBI dibekalkan di sekolah rendah dan juga sekolah menengah bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digunakan semasa PDP di dalam bilik darjah.  Sementara Perisian Makmal Bahasa MBMMBI dibekalkan di sekolah yang mempunyai makmal bahasa yang lebih menekankan kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur.

  1. Hala Tuju Pembestarian Sekolah

Bagi menghadapi pembelajaran abad ke-21, kemahiran spesifik perlu dikuasai melaui PDP berteraskan pengetahuan kandungan, kepakaran dan literasi ICT dengan sokongan sistem inovatif.  Justeru Pembestarian Sekolah ialah satu usaha berterusan KPM untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran abad ke-21 supaya mereka dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan, dan berfungsi sebagai k-workers bagi menjana ekonomi berasaskan pengetahuan. Dengan itu, kelestarian Pembestarian Sekolah amat bergantung kepada usaha-usaha berikut:

  • Menyediakan infrastruktur ICT yang terkini dan sesuai dengan tujuan PDP
  • Memastikan capaian internet tersedia untuk semua sekolah
  • Bahan sumber pembelajaran tersedia untuk guru dan murid
  • Pembelajaran sepanjang hayat dan ubiquitous diutamakan dalam sekolah dan luar sekolah
  • Membangun modal insan yang holistik, berpengetahuan serta berfikiran, kreatif, kritis dan berinovatif
  • Menanda aras amalan terbaik peringkat antarabangsa untuk melonjak kecemerlangan pembestarian

Penutup

KPM akan terus berusaha menjadikan ICT sebagai alat / sumber pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pengurusan sistem pendidikan negara. Perancangan rapi yang diikuti dengan strategi pelaksanaan yang utuh dan bersepadu diharap dapat memastikan aspirasi ini dapat dicapai bagi merealisasikan matlamat untuk melahirkan warganegara yang seimbang dari segi rohani dan jasmani, berpengetahuan dan berkemahiran menggunakan ICT.

Pembestarian Sekolah ialah satu usaha berterusan KPM untuk menyediakan generasi muda dengan kemahiran abad ke-21 supaya mereka dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan dan seterusnya menyediakan k-workers bagi menjana ekonomi berasaskan pengetahuan. Kelestarian (sustainability) Pembestarian Sekolah amat bergantung kepada sokongan, sumbangan serta komitmen semua pihak.

Kemahiran Abad Ke-21

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Pakar pendidikan di kebanyakan negara menyedari hakikat bahawa kanak-kanak memerlukan kemahiran yang lebih daripada 3M (menulis, membaca, mengira) setelah mereka menamatkan alam persekolahan. Dalam dunia globalisasi pada abad ke-21, keperluan untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi menjadi semakin penting.

kemahiran abad ke21

Komponen Kemahiran Abad Ke-21

Di Malaysia, Kementerian telah mengenal pasti kemahiran abad ke-21 yang sesuai dengan konteks tempatan dan dapat menyediakan warga Malaysia untuk bersaing pada peringkat antarabangsa. Untuk itu, kurikulum kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan murid yang seimbang, berdaya tahan, bersemangat ingin tahu, berprinsip, bermaklumat, dan patriotik, serta mempunyai kemahiran berfikir, berkomunikasi, dan bekerja secara berpasukan. Kurikulum sekolah rendah dan menengah yang dikaji semula akan memastikan keseimbangan pengetahuan yang penting dengan kemahiran berfikir, dan nilai untuk memastikan kejayaan murid pada masa akan datang.

Strategi Pengajaran Dan Pembelajaran Menggunakan ICT

Terdapat beberapa strategi pengajaran yang boleh diguna pakai oleh guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran ICT akan menjadi lebih berkesan dengan menggunakan strategi berikut:

  1. Pembelajaran Kendiri

Pembelajaran kendiri ini terdiri daripada empat pendekatan iaitu Terarah Kendiri (Self-Directed), Kadar Kendiri (Self-Paced), Akses Kendiri (Self-Accessed) dan Pentaksiran Kendiri (Self-Assessed) yang lebih berfokuskan kepada pembelajaran berpusatkan murid. Dengan adanya ICT, konsep pembelajaran ini menjadi lebih mudah untuk direalisasikan. Sebagai contoh melalui penggunaan perisian kursus dengan terarah kendiri, murid boleh menentukan apa yang hendak dipelajari mengikut kadar kemampuan sendiri, mampu mengakses sendiri, malah dapat mentaksir pembelajaran sendiri. Strategi ini membolehkan murid menjadi lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran, lebih yakin dan tekun untuk mencapai standard kurikulum.

  1. Kolaboratif

Pembelajaran kolaboratif merupakan pendekatan yang mementingkan kerjasama dan mengkehendaki murid menyampaikan idea dalam kumpulan kecil. Dalam ICT, pendekatan ini boleh dilaksanakan dengan guru memberi tugasan kepada kumpulan-kumpulan yang telah dikenalpasti. Murid boleh menggunakan emel untuk bertukar-tukar bahan dan menggunakan perisian persembahan untuk mempersembahkan hasil kerja mereka. Semua ahli kumpulan akan menyumbang dengan aktifnya pengetahuan, pendapat, kemahiran dan menyelesaikan masalah bersama.

  1. Pembelajaran Berasaskan Projek

Pembelajaran berasaskan projek merupakan satu model aktiviti bilik darjah yang berbeza dari kebiasaan. Pendekatan aktiviti pembelajaran ini mempunyai jangkamasa yang panjang, menginterasikan pelbagai disiplin ilmu, berpusatkan murid dan menghubungkaitkan pengamalan kehidupan sebenar. Projek ditakrifkan sebagai tugasan, pembinaan atau siasatan yang teratur yang menjurus kepada matlamat yang spesifik. Murid berupaya belajar menggunakan ICT semasa proses menyediakan projek dan murid juga boleh meneroka atau membuat kajian terhadap projek dengan menggunakan ICT.

  1. Inkuiri-Penemuan

Pendekatan Inkuiri-Penemuan merupakan pendekatan yang mementingkan pembelajaran melalui pengalaman. Inkuiri secara  amnya membawa maksud maklumat, menyoal  dan menyiasat sesuatu fenomena yang berlaku disekeliling. Penemuan merupakan sifat utama inkuiri. Pembelajaran secara penemuan berlaku apabila konsep dan prinsip utama dikaji dan ditemui oleh murid sendiri. Melalui aktiviti seperti eksperimen, murid akan mengkaji sesuatu fenomena dan mencapai kesimpulan sendiri. Guru kemudian akan membimbing murid untuk memahami konsep melalui hasil inkuiri.

Penggunaan ICT dalam Inkuiri-Penemuan berlaku apabila perisian kursus digunakan oleh murid untuk mencuba atau melaksana ekperimen yang sukar, terlalu mahal, mustahil atau bahaya dilaksanakan dengan cara biasa. Dengan menggunakan perisian aplikasi, murid juga dapat mengalami, mempelajari dan mengkaji sesuatu fenomena secara simulasi. Selain itu, demontrasi sesuatu kejadian yang urutan babaknya boleh dikawal oleh murid boleh juga dilihat dengan mengunakan perisian 3D Modeling.

  1. Penyelesaian Masalah

Kaedah penyelesaian masalah merupakan satu kaedah pembelajaran berasaskan masalah sebenar dan murid dapat menyelesaikan masalah dengan keupayaan mereka sendiri. Kaedah ini boleh dijalankan secara kolaboratif dan berpusatkan murid. Murid perlu kenal pasti masalah, cari kaedah penyelesaian, laksanakan operasi penyelesaian masalah dan menilai kaedah penyelesaian masalah yang digunakan. Dalam konteks ICT, kaedah ini akan melibatkan murid untuk membuat keputusan dalam menyelesaikan masalah. Sebagai contoh, murid ingin menyiapkan sesuatu tugasan yang memerlukannya memasukkan imej. Murid dapati imej yang diperlukan tidak ada dalam komputernya. Maka untuk mengatasi masalah itu, murid hendaklah berbincang dengan rakan bagi mencari penyelesaiannya. Guru berperanan sebagai fasilitator dengan memberi panduan kepada murid dalam proses penyelesaian sesuatu masalah pada peringkat awal.

  1. Pembelajaran Masteri

Pembelajaran Masteri adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Melalui pendekatan ini murid diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap penguasaan pembelajaran. Sumber-sumber ICT seperti penggunaan papan putih interaktif, tayangan video, perisian kursus, permainan komputer pendidikan dan bahan-bahan Internet yang terpilih dapat membantu murid menguasai pengetahuan dan kemahiran yang spesifik.

  1. Konstruktivisme

Pembelajaran secara konstruktivisme ialah satu kaedah dimana murid dapat membina sendiri pengetahuan  atau konsep baru secara aktif berdasarkan pengetahuan, kemahiran, nilai dan pengalaman yang telah diperolehi dalam pengajaran dan pembelajaran. Melalui pembelajaran konstruktivisme murid menjadi lebih kreatif dan inovatif. Murid gunakan TMK untuk mendapatkan data, maklumat dan pengetahuan.

  1. Pembelajaran Penerokaan

Pembelajaran Penerokaan membolehkan murid belajar melalui penerokaan berdasarkan pengalaman yang sedia ada. Murid secara aktif mencari dan mengakses maklumat dalam mencapai objektif pembelajaran mereka dalam  konteks yang terkawal. Sehubungan itu, ICT merupakan alat yang paling berkesan dalam menterjemahkan konsep pembelajaran penerokaan memandangkan ianya dapat mencapai maklumat dan pengetahuan dengan cepat bagi membolehkan murid menganalisis dan memproses maklumat yang diingini dalam situasi pembelajaran yang berbentuk penyelesaian masalah, kajian masa depan dan simulasi.

Perkembangan Terkini

Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi pada abad ke-21 seperti Web 2.0 membenarkan pengguna berinteraksi dan berkolaboratif sesama sendiri melalui platform media sosial. Pengguna boleh mencipta kandungan baharu sebagai pencipta yang aktif dalam komuniti maya berbanding sebagai pengguna laman web yang hanya melihat kandungan secara pasif. Aplikasi Web 2.0 merangkumi laman media sosial, blog, wiki, laman perkongsian video dan sebagainya.

ICT Dalam Pendidikan

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ialah pelbagai jenis peralatan teknologi dan sumber yang digunakan untuk mewujud, menyebar, menyimpan, mengumpul, dan mengurus maklumat dan berkomunikasi. Teknologi yang dimaksudkan merangkumi komputer, Internet, teknologi penyiaran dan transmisi.

ICT Dalam Pendidikan ialah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi yang menyokong proses teras dalam pengurusan dan pentadbiran pendidikan, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pembelajaran sepanjang hayat. Penggunaan ICT dalam PdP membolehkan aktiviti PdP dijalankan tanpa kekangan tempat dan masa, meningkatkan penggunaan sumber pendidikan, berupaya meningkatkan kualiti pendidikan di samping mempercepat proses pendidikan berasaskan kadar kebolehan murid.

Definisi ICT dalam Pendidikan

Dalam konteks pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) digunakan untuk menyelesaikan masalah PdP dan pengurusan dan pentadbiran (PdT) sekolah dengan menggabungkan kaedah dan teori pengajaran dengan peralatan dan bahan teknologi maklumat dan komunikasi seperti Internet (e-mel, forum, portal, laman wab), video telesidang atau instruksi berasaskan komputer. Literasi ICT seperti kebolehan mengakses, mencari, memilih, menilai, menstruktur, membina dan menyusun maklumat untuk tujuan PdP merupakan kemahiran yang perlu ada pada semua guru dalam Zaman Maklumat ini. (Yusup Hashim & Razmah Man, 2006).

Perkembangan ICT Dalam Pendidikan

Penggunaan komputer dalam pendidikan bermula pada tahun 1987 apabila Lembaga Peperiksaan (LP) menggunakan teknologi komputer dalam urusan pemprosesan data peperiksaan. Menyedari bahawa pendedahan awal kepada ICT akan menyediakan generasi muda dengan nilai tambah kemahiran yang diperlukan dalam menghadapi ledakan maklumat serta mengharungi arus globalisasi, ICT dijadikan mata pelajaran di sekolah pada tahun 1990-an.

Dasar Wawasan 2020 telah memacu penggunaan ICT dengan meluas dalam pendidikan negara melalui pelancaran projek Koridor Raya Multimedia pada tahun 1997 melalui Projek Sekolah Bestari. Pelbagai usaha membudayakan ICT juga telah diperkenalkan di sekolah bagi merapatkan jurang digital yang dihadapi oleh negara berbanding negara maju. Projek Makmal Komputer yang dilengkapi dengan komputer terkini beserta kemudahan LAN dan Internet mula dilaksanakan pada tahun 1999.

KPM telah melancarkan program pembestarian sekolah bagi tujuan melengkapkan murid dengan Kemahiran Abad Ke-21 yang menekankan penggunaan ICT sebagai pemangkin. Sejajar dengan program pembestarian ini, penyediaan capaian Internet jalur lebar melalui Projek SchoolNet dilaksanakan untuk semua sekolah di seluruh negara. Bagi membudayakan ICT di sekolah dan meningkatkan penggunaan komputer oleh murid, Projek Pusat Akses Sekolah (PuAS) diperkenalkan pada tahun 2006. KPM juga telah menambahbaik kaedah penyampaian program TV Pendidikan dengan pelaksanaan WebTV KPM atau lebih dikenali sebagai eduWebTV pada tahun 2008. Ia merupakan sumber pendidikan untuk menyampaikan ilmu pengetahuan dan bahan-bahan PdP dalam bentuk audio-visual kepada murid dan guru terutamanya di kawasan pedalaman.

Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) digubal untuk memastikan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu yang berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang terkandung dalam DPK  menyatakan ICT sebagai faktor penting untuk membantu pencapaian pembangunan pendidikan dan seharusnya diintegrasikan dalam P&P serta pengurusan pendidikan. Pernyataan dasar ini meliputi perkara berikut:

  • ICT untuk semua murid
  • ICT sebagai alat P&P, sebagai komponen mata pelajaran dan sebagai mata pelajaran
  • ICT digunakan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan

Pembangunan ICT Dalam Pendidikan di Malaysia bermatlamat untuk:

  • meningkatkan pembangunan infrastruktur ICT
  • memperluas akses dan ekuiti kepada kemudahan ICT
  • memperluas kurikulum berasaskan ICT
  • meningkatkan sistem pentaksiran dengan menggunakan ICT
  • menekankan pengintegrasian ICT dalalm PdP
  • meningkatkan pengetahuan dan kemahiran ICT dalam kalangan murid, tenaga pengajar, dan personel KPM
  • meningkatkan penggunaan ICT dalam pengurusan pendidikan
  • meningkatkan usaha pengurusan dan penyenggaraan perkakasan ICT
  • meningkatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam ICT
  • meningkatkan kerjasama antara institusi pendidikan dengan masyarakat dalam membantu memperkembangkan ICT Dalam Pendidikan

Kemahiran ICT

Kemahiran ICT yang diperlukan oleh guru / setiap individu adalah berbeza. Ini bergantung kepada keperluan tugas, organisasi, minat dan kecenderungan individu.

Dalam alam pendidikan, kemahiran mengguna aplikasi pemprosesan perkataan seperti Words, aplikasi paparan seperti Excel, aplikasi penyampaian seperti Powerpoint, kemahiran mencari maklumat, dan kemahiran mengolah data yang diperoleh menjadi satu kemahiran asas untuk semua. Pengkhususan selanjutnya bergantung kepada keperluan tugas individu. Contohnya:

  • Guru perlu tahu bagaimana berkomunikasi melalui e-mel, serta mengintegrasikan ICT sebagai satu bentuk sumber pendidikan dalam PdP.
  • Guru Pendidikan Seni boleh mencuba perisian melukis dan diikuti dengan perisian untuk animasi.
  • Pentadbir sekolah perlu tahu bagaimana menggunakan ICT untuk memudahkan kerja pentadbiran, meiningkatkan keberkesanan kerja dan mewujudkan saluran komunikasi dengan guru dan agensi luar dengan menggunakan e-mel.
  • Guru Penyelaras Bestari / ICT perlu tahu menyenggara komputer, memasang dan mengurus rangkaian setempat dan lain-lain.
  • Guru Perpustakaan dan Media perlu meneroka aplikasi atau perisian terkini yang boleh dicadangkan kepada guru untuk disesuai dan diintegrasikan dalam PdP.

Kaedah Meningkatkan Kemahiran ICT

Terdapat pelbagai kaedah dan saluran untuk meningkatkan kemahiran ICT, antaranya:

  • Menghadiri kursus atau latihan yang dianjurkan oleh KPM atau pihak luar
  • Menghadiri latihan dalaman sekolah
  • Meneroka sendiri melalui web atau e-pembelajaran
  • Belajar sambil bekerja (On-the-job training)
  • Melalui rakan sejawat
  • Mengajar

Peningkatan kemahiran bermula dengan minat, kesedaran, keperluan dan motivasi untuk belajar yang akan menyumbang kepada keberkesanan pembelajaran individu. Selepas mengikuti latihan kemahiran, individu mesti menggunakan kemahiran yang diperoleh dalam menjalankan tugas harian. Secara tidak langsung, seseorang itu akan memperoleh lebih banyak kemahiran. Kemahiran ini juga boleh dipindah ke penggunaan program yang baharu.

Latihan secara tidak formal seperti on-the-job training dan aplikasi perisian dalam kerja memainkan peranan yang penting dalam peningkatan kemahiran ICT individu. Perkongsian pengalaman dan mengajar orang lain pula merupakan cara terbaik untuk mendalami kefahaman berkaitan kemahiran yang diperoleh.