Evolusi Rangkaian Pusat Sumber Pendidikan

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang dilancarkan pada 1983 dan kemudian Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada 1987 mengutamakan penggunaan pelbagai sumber pendidikan dan kaedah pengajaran yang sesuai. Guru dikehendaki mengintegrasikan pelbagai sumber pendidikan dalam kurikulum dan pengajaran. Pengajaran berasaskan sumber hendaklah dirancang secara sistematik. Pusat Sumber Pendidikan telah ditubuhkan untuk melatih guru dan, Guru Perpustakaan dan Media (GPM) menggunakan sumber pendidikan.

Perkembangan Rangkaian Pusat Sumber

Perkembangan teknologi instruksional yang memberi tumpuan kepada instruksi berasaskan sumber pendidikan dipergiatkan lagi dengan tertubuhnya rangkaian institusi sumber yang dinamakan pusat sumber pendidikan. Rangkaian pusat sumber telah ditubuhkan dari peringkat pusat (Bahagian Teknologi Pendidikan), negeri (Pusat Sumber Pendidikan Negeri), peringkat daerah (Pusat Kegiatan Guru), hingga ke peringkat sekolah (Pusat Sumber Sekolah). Penubuhan rangkaian ini menunjukkan betapa seriusnya Kementerian Pendidikan khususnya BTP untuk meningkatkan mutu pendidikan di negara ini yang bertujuan menggalakkan penggunaan pelbagai sumber pendidikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Penubuhan Pusat Sumber Sekolah (PSS)

pusat sumber sekolahUntuk merealisasikan rangkaian sumber pendidikan ini, setiap sekolah digalakkan menubuhkan PSS masing-masing. Sebagai usaha untuk menyelaras penggunaan istilah ‘Pusat Sumber Sekolah’, Kementerian Pendidikan melalui Surat Pekeliling KP(BS)8752-C(8) bertarikh 1 Mac 1983 telah mencadangkan supaya ‘Pusat Sumber Sekolah digunakan secara rasmi untuk menggantikan istilah-istilah lain seperti perpustakaan sumber sekolah, pusat media sekolah, pusat resos sekolah, pusat alat pandang dengar sekolah dan sebagainya’. Penyelarasan istilah juga merupakan tindakan positif Kementerian Pendidikan untuk mengintegrasikan perpustakaan ke dalam organisasi PSS.

Penubuhan Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN)

btpn melakaDi peringkat negeri, pada peringkat awal hanya empat buah Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN) telah ditubuhkan iaitu di negeri Kedah (1982), Kelantan (1982), Pahang (1983) dan Terengganu (1984). Empat buah negeri ini dipilih kerana taraf sosio-ekonominya rendah. Bagi negeri lain, Unit Teknologi Pendidikan (UTP) telah ditubuhkan pada 1982 di setiap Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menggantikan Unit Perkhidmatan Sebaran Pendidikan. Pada 1987, UTP telah dicantum dan diserapkan ke dalam organisasi PSPN sebagai usaha untuk mewujudkan satu rangkaian khidmat sokongan pendidikan yang kemas, teratur dan berkesan. Proses pencantuman dan penyerapan ini meletakkan empat buah PSPN di bawah kawalan JPN. Langkah ini pada umumnya dapat memantapkan lagi pembudayaan dan penggunaan teknologi pengajaran dalam sistem pendidikan sekolah di peringkat negeri.

Walau bagaimanapun pada 1996, UTP yang terdapat di sepuluh negeri telah dijadikan PSPN dan kesemua PSPN dan PKG telah diletakkan semula di bawah pentadbiran dan pengurusan BTP. Di Sabah dan Sarawak, ditubuhkan BTPN yang mempunyai status yang sama dengan PSPN di Semenanjung Malaysia. Di tiap-tiap Bahagian pula terdapat Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian(PTPB) / Pusat Sumber Pendidikan Bahagian (PSPB). Di Sarawak terdapat 7 PTPB, manakala di Sabah terdapat 6 PTPB. DI PTPB pula terdapat beberapa PKG.

Matlamat utama penubuhan PSPN adalah menyediakan latihan dalam perkhidmatanbagi guru yang sedang berkhidmat tentang kaedah baru dalam proses P&P, di samping menjadi pusat yang membekal maklumat, bahan rujukan,dan sumber pengajaran dan pembelajaran.

Mulai tahun 2006, nama PSPN telah ditukarkan kepada Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) bagi mencerminkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan KPM dan rangkaiannya, berdasarkan keperluan teknologi semasa.

Pusat Kegiatan Guru (PKG)

pkg kayangDi peringkat daerah pula telah dimulakan rancangan untuk membina Pusat Sumber Pendidikan Daerah (PSPD). Pusat ini telah dibekalkan dengan alat dan bahan teknologi pendidikan di bawah peruntukan Bank Dunia ke-8 dan ke-10. PSPD ini mula ditubuhkan pada akhir 1986 di seluruh Malaysia. Pada 14 Ogos 1990, nama PSPD telah ditukarkan kepada Pusat Kegiatan Guru. Nama baru ini dapat memberi gambaran sebenar tentang aktiviti yang dijalankan di Pusat tersebut. Di samping itu, PKG dapat menampung kemudahan P&P bagi daerah yang luas, yang tidak mungkin dapat ditangani oleh PSPN. Sejumlah 350 PKG telah didirikan dalam Rancangan Malaysia Keenam. Kini, terdapat 367 buah PKG di seluruh negara.

Sumber:

Kementerian Pendidikan Malaysia. Ulang tahun ke-20 Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia 1972 – 1992. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia. 1992.

Yusup Hashim & Razmah Man. Teknologi instruksional: Teori dan aplikasi. Tanjong Malim: Syarikat Perintis. 2005.

(originally published in bibliografi.moe.edu.my on 2 July 2010)

Sumber Pendidikan

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Kualiti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat ditingkatkan melalui penggunaan sumber pendidikan yang baik, memudahkan pembelajaran dan menarik minat murid.  Penggunaan sumber pendidikan secara terancang dan teratur akan menjadikan proses PdP lebih bermakna dan berkesan, membantu guru menerangkan sesuatu konsep dengan lebih mudah dan menarik serta membantu murid memahami perkara yang dipelajari dan seterusnya berkemahiran mengurus pembelajaran mereka secara proaktif dan bertanggungjawab.

Justeru, guru perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran teknologi pendidikan supaya dapat memilih, mengurus, mengguna dan menilai sumber pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan PdP. Teknologi Pendidikan merupakan satu bidang dan amalan etika yang dipraktikkan untuk memudahcara dan meningkatkan keberkesanan PdP melalui penghasilan, penggunaan dan pengurusan sumber pendidikan dan proses teknologi yang sesuai.

Definisi Sumber Pendidikan

Koleksi bahan dan media dalam pelbagai format yang digunakan untuk pengajaran dan pembelajaran. Secara ringkasnya, sumber pendidikan ini dibahagikan kepada kepada dua, iaitu bahan cetak, bahan bukan cetak dan bahan digital.

Bahan cetak terdiri daripada buku-buku fiksyen, buku-buku bukan fiksyen, kamus, majalah, jurnal, laporan tahunan, surat khabar, risalah, brosur dan sebagainya.

Bahan bukan cetak pula merangkumi radio, kaset, CD, DVD, filem, kit permainan, model, realia, bahan digital, glob, specimen, replika dan sebagainya.

Bahan digital meliputi dokumen dan media dalam format digital

Ciri-ciri  Sumber Pendidikan yang Berkesan

  • Membantu guru dan murid  menjalani proses PdP dengan lebih berkesan
  • Penggunaan  sumber pendidikan dirancang dalam tiga peringkat iaitu sebelum, semasa dan selepas
  • Sumber pendidikan memenuhi keperluan kurikulum untuk mencapai objektif dan peringkat perkembangan PdP
  • Sumber pendidikan dipilih berdasarkan kos,  masa dan teknologi yang sesuai untuk mengoptimum PdP
  • Sumber pendidikan dipilih berdasarkan kesesuaiannya dari segi topik dan objektif PdP, latar belakang dan strategi pembelajaran murid, saiz kelas dan keadaan fizikal bilik darjah
  • Sumber pendidikan yang dipilih menarik minat murid serta mengayakan pengetahuan dan pengalaman murid

SP

Kepentingan Sumber Pendidikan dalam P&P

Teori Kecerdasan Pelbagai (Multiple Intelligences) oleh Howard Gardner (1983) menyatakan bahawa setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan (intelligences) merangkumi pelbagai kebolehan, keupayaan, bakat atau kemahiran yang wujud secara semulajadi. Gardner menjelaskan bahawa setiap kecerdasan adalah berasingan dan tidak saling bergantung – seseorang mungkin lemah dalam sesuatu bidang kemahiran tetapi cemerlang dalam domain (bidang kecerdasan) yang lain. Menurut beliau lagi, setiap individu mempunyai kelapan-lapan kecerdasan tetapi pada darjah atau kadar yang berbeza-beza dari segi kekuatan dan kemahiran. Kecerdasan tersebut boleh dikembangkan menerusi pendidikan, pengalaman dan persekitaran.

MI

Pengurusan Sumber Pendidikan

Kementerian Pelajaran Malaysia memperuntukkan sejumlah wang bagi meningkatkan koleksi Sumber Pendidikan melalui per capita grant (PCG) dan sumber kewangan tambahan setiap tahun. Justeru, Sumber Pendidikan ini perlu diurus dengan baik, efisien dan sistematik bagi memudahkan akses dan penggunaan oleh guru dan murid dalam mempertingkatkan kualiti PdP.

Kemudahan bagi menempatkan pelbagai jenis dan format Sumber Pendidikan turut diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, antaranya:

  • Pusat Sumber Sekolah (Bilik Perpustakaan, Bilik Media, Bilik Bahan Bantu Mengajar)
  • Pusat Akses Sekolah
  • Makmal Komputer

Selain itu, sekolah-sekolah yang proaktif mewujudkan kemudahan dan Sumber Pendidikan tambahan seperti Bilik Sumber Mata Pelajaran, Bilik / Ruang Akses Kendiri, Laluan Ilmu, Taman Ilmu dan sebagainya yang dapat menjadikan suasana pembelajaran lebih kondusif, menarik dan bermakna kepada murid.

Sumber Pendidikan Berteknologi Tinggi

Menjelang abad ke-21, perkembangan pesat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah mengubah lanskap pendidikan di Malaysia. Dengan wujudnya Sekolah Bestari pada tahun 1997, penekanan diberikan kepada Sumber Pendidikan berteknologi tinggi agar pengetahuan dan kemahiran murid adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan pengetahuan yang berdaya saing (k-economy).

Pembelajaran berasaskan Sumber Pendidikan berteknologi tinggi merujuk kepada pewujudan dan penyediaan kemudahan resos dan peralatan seperti perkakasan, perisian, dan rangkaian Internet kepada semua warga sekolah yang ingin mendapatkan pengetahuan, kemahiran, sikap dan nilai sama ada melalui proses P&P secara formal atau secara kendiri. Pembelajaran berasaskan sumber pendidikan berteknologi tinggi pada dasarnya dapat dilaksanakan merentas sempadan dan masa dengan adanya peralatan digital berbentuk maya.

Perkembangan pesat berbilion-bilion maklumat dan Sumber Pendidikan di Internet menyukarkan carian dan penilaian Sumber Pendidikan yang  berkualiti dan sesuai dengan murid. Pengurusan Sumber Pendidikan yang berkesan, sistematik dan efisien perlu dititik berat dan ditingkatkan. Murid juga perlu diberi pendedahan Kemahiran Abad Ke-21 (21st Century Skills) dan Literasi Maklumat (Information Literacy) supaya mereka mampu mengenal pasti, mencari, menilai dan mengguna maklumat secara berkesan dan efisien.

hightech

Penilaian Sumber Pendidikan

Penilaian sumber pendidikan dilaksanakan berasaskan penggunaan dan hasil pembelajaran yang diperolehi oleh murid. Penilaian ini termasuk Penilaian Formatif (ketika penyediaan sumber pendidikan) dan Penilaian Sumatif (selepas sumber pendidikan disedia dan digunakan). Keberkesanan sumber pendidikan dinilai dai aspek berikut:

  1. Kurikulum

Sumber pendidikan yang digunakan perlu sesuai dengan kehendak kurikulum dan objektif PdP. Ia perlu membantu guru dalam penyampaian isi kandungan pelajaran serta sesuai dengan tahap pemahaman dan perkembangan kognitif murid.

  1. Proses

Pengalaman berinteraksi secara langsung dengan sumber pendidikan dapat menggalakkan proses pembelajaran. Pembelajaran dapat ditingkatkan lagi sekiranya sumber itu memerlukan gerak balas murid secara lisan atau perbuatan.

  1. Sikap

Penggunaan sumber pendidikan yang sesuai dapat menarik minat dan perhatian murid terhadap proses PdP. Sumber pendidikan yang berkesan dapat menerapkan nilai-nilai murni  dan meningkatkan motivasi murid dan.

  1. Penggunaan

Sumber pendidikan harus mudah digunakan, mudah alih dan mudah disimpan. Pengalaman menunjukkan bahawa sumber pendidikan yang sukar atau dialih dan disimpan, tidak mendapat sambutan dalam kalangan guru.

  1. Kualiti

Kualiti sumber pendidikan yang digunakan haruslah memuaskan supaya mesej yang hendak disampaikan dapat diterima oleh murid dengan berkesan. Contohnya, bahan cetak harus senang dibaca dan mempunyai kosa kata yang sesuai dengan tahap penguasaan bahasa murid.

  1. Kos

Kebanyakan sumber pendidikan hanya digunakan beberapa kali sahaja dalam setahun. Oleh itu, kos penghasilan sesuatu bahan haruslah rendah. Bagi tujuan tersebut, sumber pendidikan yang boleh diguna semula dan direka ganti lebih berkesan dari segi kos.

Sumber Pendidikan Digital

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Bahan sumber digital terdiri daripada bahan berasaskan Internet, CD-ROM, video dan audio. Sumber pendidikan digital boleh digunakan untuk tujuan pemulihan, rujukan dan pengayaan.

Sumber digital mudah diguna, disesuai, diperbanyak dan diedarkan dengan serta merta. Guru dan murid perlu mempunyai kemahiran mencari, memilih, memproses dan menggunakan maklumat dan bahan digital.

Terdapat beberapa sumber pendidikan digital, iaitu:

  1. Laman web

Bahan sumber dimuatkan dalam pelayan (server) dan disusun mengikut indeks. Bahan ini boleh dimuat turun dengan menggunakan enjin carian maklumat seperti Google, Yahoo, Bing dan sebagainya.

  1. Portal

Portal ialah pusat sehenti (one-stop centre) yang digunakan untuk mendapatkan maklumat khusus contohnya berkaitan pendidikan, ekonomi, alam sekitar, perkhidmatan seperti berita, forum, dan sebagainya. Portal atau gerbang pendidikan merupakan trenda pendidikan terkini yang seharusnya dimanfaatkan oleh semua pihak.

  1. Pembelajaran Dalam Talian

Pembelajaran Dalam talian (Online learning) merupakan kaedah pembelajaran yang membolehkan pengguna untuk belajar di mana-mana pada bila-bila masa melalui komputer dan Internet.

  1. Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment – VLE)

Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) atau platform pembelajaran ialah sistem e-pembelajaran berasaskan web yang menyediakan akses kepada bilik darjah, kandungan PdP, pentaksiran, tugasan, sumber pendidikan dan pautan pendidikan, secara maya. VLE juga menyediakan ruang sosial yang digunakan oleh guru dan murid berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain. Selain daripada pembelajaran secara jarak jauh, VLE boleh diintegrasikan dalam persekitaran pebelajaran secara fizikal yang selalunya dirujuk sebagai pembelajaran blended.

  1. CD-ROM / VCD / DVD / CD Audio

Sumber pendidikan digital bagi PdP selain daripada Internet ialah CD-ROM / VCD / DVD / CD Audio. Bahan ini terdiri daripada perisian kursus, perisian interaktif dan perisian berbentuk maklumat. Ianya bertujuan untuk membolehkan penggunakan menjalankan pembelajaran kendiri dan mencari maklumat.