Pembestarian Sekolah

ditulis oleh:

FADZLIATON ZAINUDIN

Pengenalan

Globalisasi dan perubahan teknologi yang pesat telah mewujudkan ekonomi baharu yang dipacu oleh pengetahuan. Sehubungan itu, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information and Communications Technology – ICT) telah menjadi pengupaya penting ekonomi berasaskan pengetahuan bagi kebanyakan negara. Kerajaan di seluruh dunia sememangnya mengakui kesan positif ICT terhadap pembangunan sosial dan ekonomi masyarakatnya. Justeru, semakin banyak kerajaan telah mula membuat pelaburan yang ketara dalam ICT untuk membangunkan modal insan agar mereka mampu menangani cabaran dalam era digital dan maklumat.

Pelaksanaan ICT dalam Pendidikan Melalui Penubuhan Sekolah Bestari dan Konsep Pembestarian Sekolah

ICT dalam Pendidikan bermula dengan pelancaran Aplikasi Perdana Sekolah Bestari, iaitu salah satu daripada tujuh aplikasi utama dalam Koridor Raya Multimedia (MSC), pada tahun 1997, oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Sekolah Bestari merupakan institusi pembelajaran yang direka semula secara sistemik dari segi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PDP) serta pengurusan sekolah melalui penggunaan teknologi pendidikan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang sesuai dengan perkembangan semasa yang bertujuan meningkatkan minat, kreativiti, pengetahuan dan kemahiran murid.

 komponen sekolah bestari

Komponen Sekolah Bestari

  • Pengajaran dan Pembelajaran

P&P Sekolah Bestari, “jantung” atau “nadi” sekolah adalah berkaitan dengan kurikulum, pedagogi, bahan P&P dan pentaksiran untuk membantu murid belajar dengan cekap dan berkesan.

  • Pengurusan dan Pentadbiran

Pengurusan dan pentadbiran sekolah berbantukan teknologi sebagai “pemandu” atau “pemacu pengoperasian” Sekolah Bestari memastikan pengurusan yang cekap dan berkesan di sekolah.

  • Modal Insan, Kemahiran dan Tanggungjawab

Modal insan yakni guru, pentadbir dan staf sokongan, ibu bapa, komuniti serta agensi swasta memainkan peranan secara aktif untuk membangun profesionalisme dan pengetahuan warga sekolah demi peningkatan prestasi sekolah.

  • Proses

Sekolah Bestari dibekalkan dengan pelbagai sumber (input) untuk menjana keberhasilan (outcomes) yang dikehendakki.

  • Teknologi

Teknologi digunakan sebagai pengupaya dalam P&P, pengurusan dan pentadbiran serta komunikasi dengan pihak luar.

  • Dasar

Dasar diwujudkan untuk keperluan Sekolah Bestari dan Pembestarian Sekolah.

Ciri-Ciri Sekolah Bestari

Ciri-ciri Sekolah Bestari adalah seperti berikut:

  • Guru berperanan sebagai pemudah cara atau fasilitator
  • Murid belajar secara akses kendiri, terarah kendiri, dan kadar kendiri menjurus kepada pembelajaran sepanjang hayat
  • Pengajaran dan pembelajaran (PdP) menarik, berkesan dan berpusatkan murid
  • Sekolah membudayakan penggunaan ICT dalam pengurusan dan PdP
  • Sekolah mewujudkan rangkaian dan perkongsian pintar dengan pelbagai pihak

Pembestarian Sekolah

Pembestarian Sekolah ialah proses memperluaskan konsep Sekolah Bestari ke semua sekolah dengan mengambil kira manfaat (leveraging) semua inisiatif ICT yang sedang dilaksanakan oleh KPM. Proses ini dijalankan secara berterusan untuk meningkatkan keberkesanan pengurusan sekolah serta PDP secara interaktif berasaskan ICT.

Pembestarian Sekolah telah memanfaatkan (leveraging) semua inisiatif ICT yang telah dan sedang dijalankan oleh KPM seperti Projek SchoolNet, Projek Makmal Pengkomputeran, Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), TV Pendidikan melalui web (EduWebTV), Pusat Akses Sekolah, Pusat Sumber Sekolah dan lain-lain inisiatif.

Matlamat

Matlamat  Pembestarian Sekolah adalah seperti berikut:

  • Meningkatkan kadar pembelajaran berpusatkan murid
  • Membangunkan modal insan yang berkemahiran ICT untuk memenuhi keperluan masa hadapan;
  • Menghasilkan individu yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan

Tahap Bestari Sekolah diukur berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicator) melalui aplikasi Smart School Qualification Standards (SSQS). Lima(5) domain utama SSQS ialah modal insan (pembangunan kompetensi ICT pentadbir, guru dan murid), penggunaan ICT (integrasi ICT dalam pengurusan serta PDP), aplikasi (sistem yang digunakan di sekolah), infrastruktur (teknologi sedia ada di sekolah) dan Pusat Sumber Sekolah (pengurusan sumber pendidikan).

Fokus Dan Hala Tuju Pembestarian Sekolah

Fokus dan hala tuju Pembestarian Sekolah dilaksanakan berpandukan kepada beberapa dasar pendidikan seperti berikut:

  1. Dasar Pendidikan Kebangsaan

Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) digubal untuk memastikan kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi berilmu yang berupaya menyumbang ke arah pembangunan negara.

Aspek Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang terkandung dalam DPK menyatakan bahawa ICT sebagai faktor penting untuk membantu pencapaian pembangunan pendidikan dan seharusnya diintegrasikan dalam P&P serta pengurusan pendidikan. Pernyataan dasar ini meliputi perkara berikut:

  • ICT untuk semua murid
  • ICT sebagai alat P&P, sebagai komponen mata pelajaran dan sebagai mata pelajaran
  • ICT digunakan untuk meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keberkesanan sistem pengurusan
  1. Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam Pendidikan

Dasar ICT dalam Pendidikan yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B. Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada 12 Oktober 2010 menyarankan kerangka untuk menyusun transformasi sistem pendidikan negara melalui penggunaan ICT di sekolah,  penglibatan dan kerjasama kelompok pakar, perkongsian dengan sektor awam dan swasta serta penglibatan komuniti.

Matlamat Dasar ICT dalam Pendidikan adalah untuk  melahirkan modal insan yang berkeupayaan untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baru  bagi menjana kekayaan negara.

Asas-asas Dasar ICT dalam Pendidikan melibatlkan perkara berikut:

  • Pembangunan modal insan secara berterusan selaras dengan keperluan kemahiran abad ke-21,
  • Penggunaan teknologi yang bersesuaian untuk mengintegrasikan inisiatif ICT sedia ada dalam pendidikan, dan
  • Transformasi proses P&P dan pengurusan pendidikan di sekolah melalui penggunaan teknologi sebagai pengupaya.
  1. Pelan Strategik Interim KPM 2011-2020

Pelan Strategik Interim Kementerian Pelajaran Malaysia 2011- 2020 digunapakai sementara menantikan blueprint Hala Tuju dan Transformasi Pendidikan Negara yang sedang dibangunkan siap sepenuhnya. Pelan Strategik ini merangkumi 14 inisiatif strategik atau teras strategik untuk mencapai visi dan misi KPM.

Bagi memastikan matlamat ini dicapai, dua (2) pendekatan utama dalam Pelan Strategik telah dikenal pasti iaitu:

  • Pemantapan pengupaya inisiatif sedia ada untuk memacu perubahan dalam sistem pendidikan
  • Pembaharuan dan lonjakan dimensi-dimensi baharu bagi mencapai kecemerlangan

KPM berpandangan bahawa penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pengajaran dan pembelajaran serta dalam bidang pentadbiran dan pengurusan sekolah dan institusi pendidikan adalah prasyarat bagi Malaysia untuk menjadi negara yang berpendapatan tinggi. Juteru, keperluan mewujudkan ruang belajar baru, iaitu ruang belajar maya perlu ditekankan.

Pembelajaran Maya ialah pembelajaran secara online yang diperoleh pada bila-bila masa di mana juga (ubiquitous learning). Pembelajaran bentuk ini menggalakkan semua guru dan murid menggunakan teknologi berasaskan web untuk mengajar dan belajar. Fokus utama e-pembelajaran ialah murid perlu berdikari dan bertanggungjawab ke atas pembelajarannya. Suasana e-pembelajaran mendorong murid memainkan peranan lebih aktif dalam pembelajarannya.

  1. Pelan Strategik ICT KPM 2011-2015

KPM melihat ICT sebagai wadah yang menyumbang kepada pembangunan modal insan supaya dapat merancakkan lagi kemajuan negara. Selain daripada keperihatinan KPM berkaitan ekuiti dan akses, ICT merupakan wahana kepada penyampaian dan penerimaan maklumat secara pantas dan penyediaan kaedah yang lebih cekap dan berkesan dalam pelaksanaan tugas. ICT juga dapat menyediakan persekitaran P&P yang dinamik, mengurangkan jurang digital dan menyediakan peluang pendidikan untuk semua.

ICT Dalam pendidikan akan mengukuhkan lagi kapasiti sumber manusia, menggalakkan kreativiti dan inovasi, pemikiran kritis san pembuatan keputusan yang secara langsung akan membina keupayaan individu untuk mengenal pasti kemampuan dirinya dalam ekonomi berasaskan teknologi. Penggunaan meluas ICT dalam pendidikan juga akan mengoptimumkan pengurusan dan pengoperasian KPM dalam usaha menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat Malaysia.

Pelan Strategik ICT KPM dirangka untuk tempoh lima tahun (2011-2015) berteraskan kepada lima inisiatif yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan ke arah melaksanakan perancangan pendidikan yang telah digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama (National Key Result Area – NKRA). Program dan aktiviti ICT akan berdasarkan skop Projek Perkhidmatan 1BestariNet.

5 inisiatif utama

Lima Inisiatif Utama Pelan Strategik KPM 2011-2015

  1. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013 – 2025)

Pada Oktober 2011, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan kajian semula sistem pendidikan negara Malaysia secara menyeluruh dalam usaha membangunkan Pelan Pembangunan Pendidikan yang baharu. Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia. Setiap anjakan perlu memberikan impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem, seperti akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan.

Anjakan khusus untuk ICT dalam Pendidikan termaktub dalam Anjakan ke-7 iaitu Memanfaatkan ICt Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran Di Malaysia. Fokus anjakan ini mencakupi perkara berikut:

  • Meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui 1BestariNet bagi semua 10,000 sekolah menjelang 2013
  • Menambahkan kandungan atas talian untuk perkongsian amalan terbaik bermula dengan perpustakaan video guru terbaik menyampaikan pengajaran dalam mata pelajaran kritikal pada 2013
  • Memanfaatkan penggunaan ICT bagi pembelajaran jarak jauh dan berasaskan kendiri untuk meningkatkan kapasiti dan pembelajaran lebih khusus

Status Semasa Pelaksanaan Pembestarian Sekolah

Beberapa inisiatif ICT baharu KPM sedang rancak dilaksanakan di seluruh negara. Kesemua inisiatif ini merupakan lonjakan perdana Pembestarian Sekolah dalam Fasa Kestabilan dan Kelestarian menjelang 2020.

  1. Perkhidmatan 1BestariNet

1BestariNet merupakan perkhidmatan rangkaian “End To End”(E2E) bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran  serta pengurusan dan pentadbiran bagi 10,000 sekolah di Malaysia.

Perkhidmatan yang dilaksanakan di bawah projek 1BestariNet KPM adalah seperti berikut:

  • Capaian Lebar Jalur 2 sehingga 4 Mbps setahun
  • Capaian Lebar Jalur 4 sehingga 10 Mbps setahun
  • Capaian Labar Jalur sehingga 50 Mbps setahun (hanya di BTP sahaja – 1 lokasi)
  • Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM)
  • Penyenggaraan Aplikasi PPM
  • Perkhidmatan Keselamatan Terurus
  • Perkhidmatan Hosting Terurus
  • Project Management Office
  1. Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM)

Persekitaran Pembelajaran Maya (PPM) atau Virtual Learning Environment (VLE) mengupayakan PdP di mana-mana dan pada bila-bila masa.  Pelantar pembelajaran yang mantap ini:

  • Berupaya membantu KPM melaksanakan student profiling bagi tujuan psikometrik
  • Berupaya menjadi pelantar perkongsian dan kolaborasi PdP
  • Mengupayakan guru untuk membangunkan objek pembelajaran yang interaktif
  • Mempunyai keupayaan antaramuka perisian aplikasi atau application programming interface (API) bagi pengintegrasian dengan aplikasi KPM sedia ada
  • Keserasian dengan piawaian teknologi e-pembelajaran
  1. Sistem Pengurusan Sekolah (SPS)

Sistem Pengurusan Sekolah (SPS) merupakan satu komponen dalam Penyelesaian Bersepadu Projek Rintis Sekolah Bestari. Objektif SPS ialah mewujudkan satu primary data maklumat sekolah. Sistem ini telah dibangunkan pada awal tahun 2009 dengan pembangunan pangkalan data yang mengambil kira fungsi dan keperluan data aplikasi iaitu Sistem Maklumat Murid (SMM), Educational Management Information System (EMIS), Sistem Salahlaku dan Disiplin Murid (SSDM) dan Integrated Student Information System (ISIS). Penyeragaman sistem-sistem berkenaan mengambil kira penyelarasan kod yang terkandung dalam Data Dictionary Sektor Awam (DDSA).

  • Nota: SPS kini di bawah pentadbiran BPPDP
  1. Makmal Bahasa

Dasar MBMMBI ialah satu dasar yang penting dan berhasrat untuk melahirkan warga Malaysia yang petah berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Oleh itu, pelaksanaan dasar dasar ini bertujuan untuk melahirkan warga Malaysia yang fasih dan yakin untuk menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris standard dalam komunikasi, urusan rasmi, penerokaan ilmu, dan alam kerjaya.

Tumpuan juga diberi dalam pembinaan modal insan yang berminda kritis, kreatif dan inovatif serta mampu mengakses pelbagai media seperti teknologi maklumat dan komunikasi.  Individu ini akan mempunyai jati diri yang kuat, progresif, dinamik dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa ke arah mencapai negara maju.

  1. Penggunaan MBMMBI

Bahan CD digital MBMMBI dibekalkan di sekolah rendah dan juga sekolah menengah bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dan digunakan semasa PDP di dalam bilik darjah.  Sementara Perisian Makmal Bahasa MBMMBI dibekalkan di sekolah yang mempunyai makmal bahasa yang lebih menekankan kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur.

  1. Hala Tuju Pembestarian Sekolah

Bagi menghadapi pembelajaran abad ke-21, kemahiran spesifik perlu dikuasai melaui PDP berteraskan pengetahuan kandungan, kepakaran dan literasi ICT dengan sokongan sistem inovatif.  Justeru Pembestarian Sekolah ialah satu usaha berterusan KPM untuk melengkapkan generasi muda dengan kemahiran abad ke-21 supaya mereka dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan, dan berfungsi sebagai k-workers bagi menjana ekonomi berasaskan pengetahuan. Dengan itu, kelestarian Pembestarian Sekolah amat bergantung kepada usaha-usaha berikut:

  • Menyediakan infrastruktur ICT yang terkini dan sesuai dengan tujuan PDP
  • Memastikan capaian internet tersedia untuk semua sekolah
  • Bahan sumber pembelajaran tersedia untuk guru dan murid
  • Pembelajaran sepanjang hayat dan ubiquitous diutamakan dalam sekolah dan luar sekolah
  • Membangun modal insan yang holistik, berpengetahuan serta berfikiran, kreatif, kritis dan berinovatif
  • Menanda aras amalan terbaik peringkat antarabangsa untuk melonjak kecemerlangan pembestarian

Penutup

KPM akan terus berusaha menjadikan ICT sebagai alat / sumber pendidikan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pengurusan sistem pendidikan negara. Perancangan rapi yang diikuti dengan strategi pelaksanaan yang utuh dan bersepadu diharap dapat memastikan aspirasi ini dapat dicapai bagi merealisasikan matlamat untuk melahirkan warganegara yang seimbang dari segi rohani dan jasmani, berpengetahuan dan berkemahiran menggunakan ICT.

Pembestarian Sekolah ialah satu usaha berterusan KPM untuk menyediakan generasi muda dengan kemahiran abad ke-21 supaya mereka dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan dan seterusnya menyediakan k-workers bagi menjana ekonomi berasaskan pengetahuan. Kelestarian (sustainability) Pembestarian Sekolah amat bergantung kepada sokongan, sumbangan serta komitmen semua pihak.

Advertisements